Quantcast
Channel: di sini aku menulis
Viewing all 92 articles
Browse latest View live

Pusara Masjid Lama : Catatan 14

$
0
0

HJ DON duduk di punggur pokok kayu yang sudah ditebang tetapi masih utuh lagi.  Belum reput mahupun dikekah anai-anai.  Masjid tua di belakangnya dan Sungai Kubu di hadapannya.  Aki Ajir yang baru keluar dari masjid menghampiri.
"Awak ingat kamu sudah pulang," katanya.
Hj Don berpaling dan tersenyum.  "Belum Aki.  Saya kalau boleh mahu pulang ke rumah sendiri," dia berharap.
Aki Ajir menarik nafas panjang.  "Memang yang berlaku itu pelik.  Bukan kebiasaan tetapi kamu kenalah ingat apa yang awak pesan ini, inilah tanda-tanda kekuasaan Allah."
"Iya Aki, saya akui," balas Hj Don.

Aki Ajir mengibas tubuhnya dengan kain serban.  Dia memilih tempat untuk duduk di tanah beralaskan beberapa pelepah belarak.  "Nampak bukit sana?" tunjuk orang tua itu.  Hj Don mengangguk.  "Itulah Bukit Kutu."
 
Bukit yang sama kelihatan dari pintu rumahnya.  Bukit yang biasa ditenungnya setiap pagi, ketika jelas kelihatan.  Menjelang tengahari awan akan berarak melindungi dan menjelang senja sudah hapus ditelan kabus dan awan yang bergumpal-gumpal.
"Empang di mana?" terpacul pertanyaan itu dari mulut Hj Don.
"Atas sungai sana," tunjuk Aki Ajir ke depan.  Ada beberapa buah perahu berkajang tertambat pada tebing.  Di seberang sana kelihatan beberapa batang pokok kelapa menjulang dan dari jauh kelihatan menghijau membukit.  "Kalau kamu lihat betul-betul, Tanah membukit berumput hijau itulah tembok empang.  Esok atau lusa, awak bawa kamu ke sana," janji Aki Ajir.
 
Hj Don tersenyum.  Sungguh dia terperangkap di ruang waktu ini namun imbalannya bukan sedikit.  Siapa sangka dia akan dapat melihat empang yang pecah pada tahun 1883 itu.

Pusara Masjid Lama - Catatan 15

$
0
0

MEREKA melompat masuk ke dalam perahu jalur itu.  Aki Sendeng sedang terbaring beralaskan beberapa kajang yang berlipat.  Tubuhnya diselimuti kain kemul yang sudah luntur warna birunya.  Orang tua itu menggeletar.
"Aki demam?" tegur Hj Don lalu menjamah dahi Aki Sendeng.  Hangat bagai berdiang di tungku.  "Memang demam teruk," katanya pada Aki Ajir.
"Kamu tunggu di sini, awak panggil orang kampong membantu," kata Aki Ajir lalu melompat keluar dari perahu.
Hj Don memandang sekeliling.  Ada periuk kecil dan Loyang bergantungan pada bumbung kajang perahu jalur itu.  Itulah yang digunakan orang tua itu memasak ketika berperahu dari Teluk Penyamun ke Kuala Kubu dan sebaliknya.  Ada tempayan gubang berisi air minum.  Sumpit mengkuang berisi beras.  Juga kain-kain sarung yang berlipat bergantung pada tali labrang perahu.
"Awak hendak mudik Teluk Penyamun bagaimana," keluh Aki Sendeng.  Anak bininya di sana, dia hanya berdagang ikan dan hasil laut ke mari.  Habis dagangan kembalilah ke Teluk Penyamun, meraih hasil laut dan kembali ke Kuala Kubu.  Begitulah bertahun-tahun.  Tidak pernah hinggap sakit pening.  Apa lagi demam ketulangan begini.
"Kita tunggu Aki Ajir, mana tahu boleh bawa berubat," getus Hj Don.
"Kalau awak pergi, kamu sempurnakanlah di mana awak pergi.  Usah diayak jenazah awak ke hulu hilir," pesan Aki Sendeng.
Hj Don memegang tangan Aki Sendeng lembut.  "Jangan Aki cakap begitu, kita ini milik Allah." 

OH ASIK 1

$
0
0
"Encik datang dari mana?" tegur Asik.
Saya menunjukkan segumpal wang.  "Tukar duit.  Sekarang duit ringgit susah kalau hendak tukar kalau pergi luar negeri," beritahu saya.
"Encik hendak pergi mana?"
"Bukan saya, kawan saya hendak pergi haji," terang saya.
"Bawa petai encik.  Petai sekarang lebih mahal dari duit!" unjuk Asik, seikat petai ditangannya.

Saya sengih.

Pusara Masjid Lama - Catatan 16

$
0
0

AKI AJIR tiba bersama beberapa orang lelaki.  Dia menjenguk dan bertanya, "masih sedar?"
Haji Don mengangguk.  "Dia dah mula meracau," jawabnya.
"Cari kayu buat pikulan!" laung Aki Ajir kepada orang di atas tebing.
"Baik Aki!" Kedengaran orang menetak batang kayu.  Aki Ajir memilih kain sarung yang masih rapat tenunannya.  Kain itu di sarungkan pada Aki Sendeng yang sedang menggeletar.
"Hantarkan aku balik... Hantarkan aku balik..."
Aki Ajir membaca sesuatu, mulutnya terkumat kamit.
"Aku hendak balik... Aku hendak balik..."
"Kau hendak balik ke mana?" tanya Aki Ajir keras.
"Sungai... Sungai..."
Meremang bulu roma Haji Don mendengarkannya.  Lantas dia membaca ayat-ayat pendinding diri.  Orang tua ini bukan demam sembarangan.  Ada sesuatu yang mengganggunya.

"Ini kayunya!" Seorang pemuda bertubuh kecil tetapi tegap melompat ke dalam perahu jalur.  "Tarik tali perahu, tambat pada pohon meranti sana.  Biar rapat betul ke tebing!" katanya memberi arahan.  Hj Don dapat merasakan perahu jalur itu bergerak.
"Mari dua orang lagi!" laung Aki Ajir.
Kain sarung yang menyarungi hampir seluruh tubuh Aki Sendeng tidak diikat, dibiarkan terungkai.  Batang kayu dimasukkan ke dalam kain sarung hujung ke hujung berfungsi jadi pikulan.  Bersusah payah Aki Ajir dan Hj Don memikul pada bahagian kaki dan pemuda tegap itu pada bahagian kepala.  "Perlahan-lahan Rukun, tersangkut pada kajang nanti," pinta Aki Ajir.  Rukun, pemuda berbadan tegap itu mengangguk.  

Dua orang pemuda lain menunggu di atas tebing menyambut pikulan itu.  "Kita mahu bawa ke mana?" tanya salah seorang dari mereka.
"Bawa ke rumah.  Nanti awak suruh orang panggil pawang," suruh Aki Ajir.

Kedengaran orang memberi salam.  Mereka semua menjawab.  Sebuah rakit tiba di pengkalan.

Bapak Tua

$
0
0

SABAN pagi, bapak tua itu akan mengejutkan anaknya, mengiringi ke tandas.  Rumah kampong ketika itu, tandasnya jauh sepelaung.  Hanya dikepungi daun nipah kering atau zink lama.  Nyamuk menghurung batang tubuh bagai lalat menghurung daging busuk.  Subuh masih awal, gelitanya diterangi obor dari belarak kering.  Itulah juga penghalau nyamuk.
 
Saban pagi lima hari seminggu, bapak tua itu memberi khidmat tanpa pernah culas.  Apa lagi merungut.  Jika hari hujan, air tadahan di tempayan.  Jika tidak, perigi lah.  Tidak pernah bapak tua itu mengungkit apa yang pemerintah gagal kerana bapak tua itu sedar, dia hanya orang miskin yang menumpang ihsan di dunia.  Bapak tua itu mungkin tidak pernah tahu, di luar dari kampungnya, jauh di kota, hidup lebih enak buat seorang Melayu juga sepertinya.  Kerana itu dunia orang kaya.  "Pergi sekolah, nak.  Supaya besar nanti kau boleh kerja dan naik kereta," pesan bapak tua itu ketika anaknya naik ke atas karier basikal tuanya. 


Pusara Masjid Lama - Catatan 17

$
0
0

Sudah seminggu Aki Sendeng terkedang di tengah serambi. Bermakna sudah seminggu juga Haji Don ditugaskan menjaganya.  Sudah beberapa orang dukun yang datang, bersilih ganti hari.  Selepas sahaja dukun yang mula-mula memutuskan ubat, dukun kedua pula mengambil bahagian.  Ada yang mengimbas dengan kain hitam.  Ada yang mengacu-acukan manggar kelapa yang belum kembang dan kali ini Haji Don diminta mengambil upih pinang beberapa keping.
"Buat apa?" tanya Haji Don hairan.
"Buat bekas makan, acu untuk membuang ancak di sungai," terang Aki Ajir.
"Syirik," kata Haji Don sepatah. Membantah.  Dia dapat melihat wajah Aki Ajir berubah kemerahan-merahan.  Tak sanggup menentang mata orang tua itu, Haji Don turun ke tanah.  Ada beberapa batang pokok pinang hidup subur di bawah cangkat, tidak jauh dari rumah. 
"Jangan sampai upih itu jatuh ke tanah!" laung Aki Ajir. 

Pusara Masjid Lama - catatan akhir

$
0
0


BEBERAPA buah novel saya diselesaikan penulisan manuskripnya di Bukit Fraser.  Begitulah juga dengan Pusara Masjid Lama yang tajuknya ditukar kepada Celam Celum Kuala Kubu.  Penulisan bab-bab terakhir dilakukan di tanah perbukitan ini di bahagian yang menjadi negeri Selangor.  Insya Allah novel ini akan menemui pembaca sekitar Oktober 2017 nanti.

Pekan di Kuala

$
0
0
PEKAN Sangka Dua terdiri dari sebaris kedai kayu yang berbumbung tinggi dari atap bertam.  Ada empat buah kedai semuanya, setiap satunya sentiasa dibuka.  Papan pintu sekeping-sekeping akan dikeluarkan dari kayu pengapitnya dilantai dan di bawah alang mengikut susunan yang sudah ditentukan.  Ia ditanda dengan sebatang katu panjang yang dilekatkan pada setiap papan pintu itu dan dipotong pula mengikut lebarnya dan berguna menjadi pemegang papan pintu itu bila ditarik ke bahagian yang tidak berapit.

            Suatu ketika dahulu Medan pernah menunggu di depan kedai asam garam milik Pak Itam.  Itulah satu-satunya kedai milik orang Mendailing.  Kedai-kedai yang lain, kedai barang-barang melombong milik orang Hakka.  Kedai ceti milik orang Chettiar dan disebelahnya kedai menimbang timah dan emas.  Kata Pak Itam, tukang kedai itu bukan tukang Melayu tetapi kuli tauke asal lombong Sangka Dua yang telah ditutup.  Kayu-kayu diramu dari hutan Sangka Dua sebelum dilombong.  Bentuk kedai-kedai itu jelas berlainan sekali dengan bentuk-bentuk kedai di Kuala Kubu yang masih menggunakan buluh dan kulit kayu.  “Mesti kukuh, malam-malam ada macan loreng yang sesat masuk ke dalam pekan,” terang Pak Itam ketika Medan membantunya membuka kedai.  Keningnya sedikit ternaik mendengarkannya.  Medan sentiasa bersedia, sebilah lembing pusaka tinggalan Tok Kambang sentiasa tersisip pada kajang pedatinya.  Jika macan loreng tiba-tiba muncul, tangannya akan pantas mencapai lembing di atas kepalanya itu dan bersedia merejam.  Medan sentiasa bersedia, padah tidak berbau dan ajal tidak menunggu.


Menulis ASIK

$
0
0

ASIK mula ditulis di fb tahun-tahun terakhir saya bertugas di Cameron Highlands.  Asik saya temui di Bah Renyis.  Namanya unik, bermaksud orang luar dalam bahasa Semai.  Orangnya berpendidikan juga dan ketika itu bekerja di Ipoh.  Saban minggu akan balik ke Bah Renyis menyantuni keluarganya.  Keluarga ini mempunyai seorang anak OKU bernama Haron.  Saya kagum, sungguh pun Haron bertubuh bongkok namun di terima ikhlas oleh kawan-kawan sepermainan dan dijaga bersama dalam keluarga besar Bah Renyis.  Watak Asik itulah yang saya ambil dan saya gandingkan dengan hubungan saya dengan orang-orang Asli yang lain yang rapat dengan saya seperti Bah Gedut, Hasan dan Bah Karier.

Orang selalu salah anggap terhadap Orang Asli.  Kehidupan sekadar perlu, hanya ambil yang cukup untuk mengisi perut dan menikmati hidup seperti di syurga.  Kenapa saya katakan begitu?  Hidup di syurga hidup yang bersenang lenang.  Mahu makan, petik sahaja buah-buahan, dahaga minum sahaja dari sungai.  Tiada hambatan hidup, mahu bayar bil-bil, buat simpanan hari tua atau memikirkan beban kewangan menyekolahkan anak.  Hidup Orang Asli jelasnya menghampiri keadaan hidup di syurga.  Ringkas seadanya.

Dalam soal kehidupan, Asik sangat jelas tujuan hidup ini.  Tidak perlu memikirkan apa jua - soal politik atau masa depan kerana dunia akan berlansung terus mengikut kehendak Tuhan walau apa jua kehendak manusia mahu mengubahnya.

 
Membaca Asik, seolah menghilangkan stress.  Mentertawakan diri sendiri dan sesekali menyenggol rentak kehidupan kita.

Salam hormat!

Contang Conteng

$
0
0
“Apalah budak-budak taman ni, papan tanda pun diconteng,” keluh Pak Din yang duduk dibangku penumpang belakang. 
“Mana?” tanya Pak Naib di depan. 
Haji Don yang sedang memandu peugout tua itu terus memandang ke depan.  Takut hendak berpaling, “papan tanda arah tu ke?”
Papan tanda jalan bercat biru dengan tulisan putih, arah ke tempat disembur cat hitam dengan nombor 86.  Bukan satu, dua tiga papan tanda pun begitu juga.
“Bukan kerja budak-budak tu,” kata Haji Don kemudian.
“Ya juga, buat apa budak-budak conteng nombor kat papan tanda.  Lagi pun tinggi tu...” sokong Pak Naib.
Lampu isyarat merah.  Kereta peugout itu berhenti, Haji Don angkat hand brake.  “Itu sebenarnya tanda kawasan kongsi gelap.”
“Tanda kawasan?  Macam harimau menanda kawasan bunyinya,” Pak Din gelak besar.  Dia pun terangkan, harimau menandakan kawasan kekuasaannya dengan kencing.  Harimau lain, hatta binatang lain akan tahu kawasan itu milik harimau yang kencing tadi berdasarkan bau kencing yang dipancut ke batang pokok atau batu.  Macam kucing jantan juga.
“Dalam dunia ini ada putih dan ada hitam.  Ada baik dan ada jahat.  Semuanya ada kawasannya, kalau polis ada sempadan daerah, kongsi gelap pun ada sempadan kekuasaannya juga,” terang Haji Don.
“Teruklah kalau begitu ya,” keluh Pak Naib.
“Ada dosa, ada pahala, Pak Naib.  Pilih lah yang mana...” ujar Pak Din.
“Malaya masih aman...” balas Haji Don.

Sunyi.  

#novelmelayu


Sekadar Kenangan - Misfalah dan Ibrahim al Khalili Street

$
0
0




Aku Menulis dan Menjual ASIK

$
0
0

SEORANG kawan kami menerangkan kepada saya, mengapa sebuah masjid mesti berada di tengah-tengah kampung.  Jawapannya mudah, masjid mesti berfungsi sebagai pusat masyarakat.  Mudah untuk dikunjungi dan menjadi tempat yang melindungi.  Masjid tidak sepatutnya mahal dan mewah.  Biarlah mudah untuk diselenggara dan juga tidak terlalu dijaga – dimangga, dijerijikan dan dikunci hampir sepanjang masa.  Masjid sepatutnya menjadi tempat persinggahan musafir dan tempat orang bermasalah berlindung – jika sekarang dipanggil gelandangan.  Buku Asik bermula dari sini.

Kami mempunyai seorang sahabat yang akrab.  Seorang siak masjid, pemandu van jenazah dan penjual sate sebagai mata pencariannya.  Kami panggil, Pak Man Sate.  Boleh dikatakan orang Cameron Highlands mengenalinya.  Malah, pelancong yang datang ke sana juga kenal dia siapa.  Pak Man Sate ini orangnya sederhana.  Pakai t-shirt, berkopiah, seluar slack dan bercapal.  Membakar sate itulah pakaiannya, ke masjid pun itulah pakaiannya.  Apa yang menarik hati kami, tutur katanya.  Sangat berisi.  Penuh dengan maklumat.  Mengikuti perkembangan semasa – politik, sosial, setempat dan sukan juga.  Pendek kata, ada sahaja ceritanya.  Ceritanya itulah yang membuatkan kami berfikir panjang.  Tentang dunia yang fana, dan akhirat yang kekal.  Tentang orang Islam yang sangat Islam pada zahirnya.  Tentang kesederhanaan yang semakin dilupakan.

Asik yang kami temui, seorang Orang Asli yang boleh dikatakan terpelajar namun tinggal jauh di pedalaman.  Kampungnya di kaki gunung dan tersembunyi dari dunia luar hatta tidak diketahui oleh jabatan kerajaan yang berkhidmat untuk Orang Asli sekali pun.  Maklumlah, sepuluh buah rumah dianggap sebuah kampung asalkan mempunyai Tok Batin sendiri.  Sejujurnya, Asik boleh sahaja tinggal di Ipoh dan bekerja seperti Cina, India dan Melayu.  Namun Asik memilih syurganya sendiri.  Sebuah kampung yang tersorok di kaki gunung yang sejuk, indah dan nyaman. 

Jika kami bercakap tentang Tuhan dan syurga, Asik lebih awal menemui syurganya berbanding kami.  Bagaimanakah hidup di syurga?  Orang Asli berada di dalam syurga dunia.  Petik sahaja buah-buahan yang hendak dimakan.  Minum sahaja air di sungai-sungai.  Wang tidak bernilai dan fikiran tenang kerana hidup untuk hari ini diselesaikan hari ini, esok biarlah esok sahaja.  Asik sinis, penuh humor namun kata-katanya benar.  Terasa seolah menghiris hati yang mendengar.  Asik jujur, apa yang dihati – itulah yang diluahkan dimulutnya.  Tidak pandai bermanis mulut.  Tidak tahu berpura-pura.


Inilah asas watak-watak dalam buku Asik.  Asik dan encik.  Haji Don dan Mat Noor, Mat Ketayap, Pak Naib, Pak Din, Pak Jab serta Min.  Soal-soal pokok dalam masyarakat menjadi asas penceritaan pada setiap cerita pendek-pendek.  Biar hanya seinci ceritanya, manfaat yang diperolehi melebihi sebuah novel setebal seinci.  Biar sekadar lawak jenaka, ketawanya pada diri sendiri.  Isu-isu semasa disentuh secara lembut dan berlapik.  Sesuai dengan budaya Melayu cakap biar berlapik.  Jika bercakap terus terang, bukan Melayu namanya.  Begitulah Asik, menggarap karya dalam keserabutan hidup masyarakat kini.


24/3/2017 - diberi peluang berkongsi dalam program Pesta Wanita dan Keluarga di Tesco Semenyih.

Tentang Tantrum @ rojakserendah

$
0
0
SAYA duduk di sebuah meja kedai rojak yang terkenal di Serendah.  Kami baru pulang dari PDK, Pemulihan Dalam Komuniti Sungai Choh.  Terbayang-bayang gelagat Pak Yusof dan sahabatnya dari Indonesia menyanyikan lagu-lagu evergreen - Pak Yusof memetik gitar dan menyanyi.  Sahabatnya pula bermain biola.  Anak-anak OKU PDK Sungai Choh riang bertepuk tangan dan berdansa.  Ingatan saya sirna bila melihat seorang ibu, bert-shirt merah dan berseluar memimpin anak-anaknya, tiga orang OKU menyusuri bahu jalan yang bertanah merah dan berlopak-lopak di hadapan kedai rojak itu.

Saya menarik nafas panjang.  Mempunyai seorang anak OKU pun bukan calang-calang dugaan, bagaimana ibu ini menghadapi kerenah kesemua anaknya - yang tiga orang itu OKU?  Bagaimana ibu ini mengubati hatinya yang lara?  Bagaimana menangani satu isu yang cukup berat iaitu tantrum?

Tantrum, bagaimana hendak menterjemahkan dalam bahasa Melayu - mungkin lebih sesuai - mengamuk.  Tantrum datang kadang-kala bersebab, kadang-kala tanpa sebab.  Antara sebab-sebab yang lazim kedatangan haid, kedudukan bulan penuh atau full moon, juga kedudukan bulan yang terlalu hampir dengan bumi, atau bunyi-bunyian yang menyakitkan telinga atau cahaya yang menyakitkan mata, atau suasana yang riuh dan bingit.  Ada 1001 satu sebab yang mungkin dan tidak mungkin.  Yang logik dan tak logik.  Yang berkaitan dengan makhluk lain atau tidak.  Yang melibatkan penerimaan orang sekeliling atau tidak.  Menjadi ibubapa OKU, menghadapi tantrum sesuatu yang menghantui hidup.

Ada tantrum yang boleh diselesaikan dengan menghentikan punca.  Jika puncanya geseran plastik, selepas plastik itu dicampakkan keluar, selesailah.  Ada pula dengan mengalihkan OKU dari suasana atau keadaan itu.  Jika puncanya jerit pekik di stadium bola,  Beransurlah.  Ada pula dengan meletakkan OKU itu di sebuah bilik tertutup dan tidak berorang.  Sunyi.  Itulah juga caranya yang mententeramkannya.

Namun ibubapa OKU sering terperangkap dalam suasana yang tidak memungkinkan mereka dapat menenangkan OKU yang tantrum seperti berada di tempat awam.  Orang ramai bukan sahaja menyibukkan diri, mengambil gambar, malah seolah menonton satu pertunjukkan.  Antara yang menjadi sebab ibubapa berfikir 1001 kali untuk membawa anak-anak OKU ke tempat awam.



Errr...  Kenapa upload gambar #rojakserendah ?  Yalah, orang lebih menghargai makanan dari cerita OKU kan...

Katamu Asik!

$
0
0
Kampung Asik sememangnya indah.  Berkabus sepanjang pagi dan lewat senja jika hujan turun. Sesiapa datang pasti terpaut. "Saya suka betul dengan kampung awak ni, Asik," puji saya.  Yalah, pencinta alam seperti saya memang suka keindahan.
"Kalau encik suka, encik pindah sini lah..." balas Asik selamba.
Saya geleng banyak kali.
"Kenapa encik nak juga tinggal di pekan?" tanya Asik.
"Errr... Selamat sikit.  Tempat awak ni mungkin banyak ular, biawak, harimau..."
Asik gelak.  "Binatang tu yang takut hendak dekat dengan orang, encik.  Lagi?  Sebab apa?"
"Errr...  Ada polis.  Keselmatan terjamin..."
Asik gelak lagi.  "Kampung aku tak payah polis, encik.  Tok batin seorang boleh jaga.  Lagi?"
Ceh! Asik sudah mencabar ni.
"Ada undang-undang... Sivil, Syariah, Jenayah, Trafik...  Undang-undang...  Undang-undang..." Apa lagi saya hendak cakap?
Asik gelak dan saya terus terbakar.
"Tok batin seorang boleh jaga, enciiiikkkk..."


 

Pinjamkan Dia Sebentar - Demi Kasih Nak...

$
0
0

Saya fikir, setiap penulis yang terlibat dalam antologi cerpen PINJAMKAN DIA SEBENTAR menulis dengan perasaan berbaur.  Sebagai orang yang menyelenggarakan, saya membaca dengan perasaan libang libu.  Ada kalanya gagal meneruskan pembacaan.  Maka proses menyediakan manuskrip memakan masa berbulan-bulan.

Segala-galanya tertulis di sini, yang tidak pernah orang lain fikirkan.  Yang selama ini hanya berada di luar balang kaca sedang kami terkurung sepanjang hayatnya.  Tentunya sesuatu yang terkurung itu indah, dikasihi dan sentiasa ditonton.  Seperti ikan-ikan yang berenang di dalam balang kaca.  Kalian hanya boleh melihat, jauh sekali dapat menyentuh kehidupan ini.

Catatan cerpen-cerpen panjang ini demi kasih kami, nak.  Tidak ada sebab lain, hanya kasih dan kecintaan kami kepada kalian.  Semoga di sana nanti kalian tidak melupakan kami, nak.  Pimpinlah kami menuju ke syurga dabaanmu.  Dunia ini sekadar daerah perang.

Pinjamkan Dia Sebentar, terbitan DBP akan dilancarkan di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 29 hb April 2017, pukul 1.00 tengahari di reruai DBP.

Pinjamkan Dia Sebentar Bukan Raih Simpati

$
0
0

Ada ibu yang menitiskan air mata saat buku ini dilancarkan pada 29 hb April 2017 di reruai DBP, PWTC.  Pada saya sendiri si editor yang mengumpulkan semua cerpen, menyunting dan menyediakan manuskrip mentahnya, setiap cerpen yang ditulis begitu dekat di hati.  Seolah-olah masa terhenti sebentar ketika menukangi manuskrip ini.


Pinjamkan Dia Sebentar bukan mencari simpati.  Kisah benar dari kami, buat masyarakat melihat dan menilai diri.  Ujian bagi kami membesarkan anak-anak istimewa.  Ujian bagi masyarakat melaksanakan sifat-sifat Tuhan kepada hamba Nya - sifat ehsan yang benarkah masih ada di hati masyarakat?  Sifat penyayang yang didambakan dan sifat pengasih sesama insan.


Saya sendiri menulis tajuk Yang Teristimewa dan Yang Terpinggir' - secara telus tanpa berselindung.  Ya, sebuah antologi yang bukan nafsu-nafsi tentunya.  Cukuplah dibaca 10% dari seluruh pengunjung pesta buku sudah memadai.  Kelak kalian akan mengubah seluruh jiwa masyarakat ini mengasihi OKU.  Siapalah kami di hati kalian...

Cebisan-cebisan Malacca

$
0
0

DARI pintu kaca gelangsar yang terbuka, dia melihat langit resah seolah-olah sedia menitiskan rahmat.  Musim kering yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu nampaknya akan sirna.  Titis-titis hujan yang kasar, menerpa sengkuap banglo peranginan yang menjadi tempat dia berlindung sejak beberapa hari yang lalu.  Dentingannya kadang kala menggusarkan.
     Juraimi bangkit dari katil, menggulung selimut ke hujung kaki dan mencapai baju-t yang tersangkut pada tupai-tupai di dinding.  Dia mendengar bunyi enjin kereta memasuki garaj, melihat jam di tangan dan bergegas menuruni tangga.  Loceng pintu sudah dipetik beberapa kali ketika dia mencapai ganggang pintu.
     “Baru bangun?”
     Juraimi hanya tersenyum, menyerlahkan baris-baris giginya yang putih.  “Lepas Subuh tadi, saya terus sambung tidur,” katanya dengan rasa serba salah.  Sudah beberapa hari dia terpaksa menyusahkan Anne Teoh.  Mujurlah wanita Cina lewat dua puluhan itu sedia sahaja membantu, atau berkorban mengikut kata orang muda sekarang.
     Anne Teoh tersenyum sekilas, senyuman dan kelembutan itulah yang selama ini didambakan.  Wajah bujur sireh, kulit kuning langsat mulus dan bibir kecil nipis.  Gemar hanya berseluar denim biru dengan blaus yang berwarna bunga-bunga terang.  Wajah itulah yang mengingatkan pada Anne Duke.
     “Petang nanti boleh menemankanku ke Joker Walk?” tanya Anne Teoh sambil menghidangkan coklat panas yang dibancuh bersama oat.  Dua mangkuk mee rebus Muar dengan telur rebus yang kuningnya tidak masak.
     Juraimi mencapai penyepit dan mula menikmati mee rebus yang dibeli Anne Teoh itu.  Menyepit telur terlebih dahlu dan mengunyah perlahan.
     “Kau sudah pandai menggunakan penyepit,” tegur Anne Teoh.
     “Mudah, Tahun Baru Cina nanti aku boleh sahaja menyambutnya di rumah orang tua mu,” balas Juraimi bersahaja.
     Mata Anne Teoh terbeliak, titis jernih hampir sahaja terjatuh darinya.  “Maksudmu?  Kau…  Kau mahu…”
     “Tentu sahaja selepas semua ini selesai,” potong Juraimi cepat-cepat.

     Satu keluhan panjang kedengaran.  Anne Teoh seolah-olah kembali terhumban ke dalam realiti.


Bunga Popi Usman Awang

$
0
0
Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
hasil manusia gila perang membunuh mesra,
bunga merah berkembang indah minta disembah.
Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
perang dalam kenangan penuh kengerian,
sekarang dalam kepahitan,
dalam kesepian.
Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
hilang pergantungan, hilang pencarian,
hidup kebuluran,
ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.
Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!
Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
bunga darah merah menyimbah,
penuh kengerian.
Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Usman Awang
1955



Bunga popi, saya dahulu berfikir panjang kenapa sajak tentang perang karya Usman Awang bertajuk bunga popi.  Setelah bertahun-tahun berkerja bersama penagih dadah, saya membuat satu kesimpulan - dadah telah mengubah genetik pencandunya.  Jika anda menghisap dadah sekarang, berkemungkinan besar generasi anda akan datang juga akan menghisap dadah.

Jika menelusuri sejarah, ketika Sultan Abdullah mahu berperang dengan JWW Birch, baginda telah memesan ratusan senapang dan sepeti candu dari Pulau Pinang.  Perlu diingat wilayah Pulau Pinang ketika itu bukanlah Pulau Pinang sekarang.  Wilayahnya dari Pangkor hinggalah Seberang Perai.  Malam sebelum berperang, untuk menaikkan semangat, baginda dan bala tenteranya membuat upucara main hantu - menghisap candu adalah sebahagian darinya.  Manakala punca perang Selangor apabila dua peti candu milik Raja Mahadi dirampas oleh Raja Abdullah, orang besar yang diberi kuasa mengutip cukai oleh sultan.  Raja Mahadi berpegang bahawa anak raja tidak boleh dikenakan cukai dan kerana itu peperangan pun berlaku.

Tidak hairanlah kini penagih-penagih dadah tidak pernah berkurangan bahkan semakin bertambah dari sehari ke sehari. Bunga popi yang ditoreh getahnya untuk mendapatkan candu menjadi punca segala fitnah yang menimpa umat manusia.  Hari ini, hari lahir Usman Awang.  Alfatehah.   

ASIK NAR

$
0
0

ASIK NAR akan muncul 4 hb Disember 2017.  Menulis ASIK dan ASIK NAR merupakan sebuah perjalanan hidup golongan marhaen dan yang terpinggir.  Sejak akhir-akhir ini golongan yang terbawah ini tidak lagi menjadi bahan penulisan sasterawan dan bukan sasterawan, penyair dan bukan penyair, novelis dan bukan novelis.  Mungkinkah tema ini sudah tidak relevan berbanding tema lain yang lebih intelek dan memperlihatkan kecerdikan penulisnya?

Quinoa?

$
0
0

“Encik tak pernah makan?” tanya Asik.  Pokok itu seakan pokok jagung.  Sudah menguning seperti jagung yang sudah tua.  Asik memetik tangkainya di pucuk.  Bijirinnya perang kehitaman.

Saya menggeleng.  “Pokok apa itu?”

“Apak cakap Orang Asli dulu-dulu makan inilah,” sambung Asik.

“Quinoa?”

“Cakap apa tu, encik?  Ini sekoi lah!”
Viewing all 92 articles
Browse latest View live